Kota London di United Kingdom adalah antara pusat pembelajaran yang mempunyai ramai pelajar Malaysia. Dalam kegembiraan menyambut Ramadhan bersama rakan seperjuangan, terselit juga kerinduan kepada suasana dan keluarga di tanahair. Bagi saya secara peribadi, apabila teringat kepada suami yang berada jauh terasa ingin untuk menempah tiket penerbangan pulang. Dari minggu ke minggu hasrat tersebut tertangguh apabila semakin banyak tugasan yang mustahil diselesaikan dalam masa terdekat. Maka, dipujuk hati supaya redha dengan menjalani ibadah puasa di perantauan. Walaupun ada kalanya dilanda perasaan tertekan yang bercampur baur, saya tetap yakin bahawa usaha yang konsisten akan membuahkan hasil kejayaan. Bak kata cikgu matematik tambahan semasa menuntut di MRSM Pengkalan Chepa (MRSM PC) dahulu “Takkan karbon menjadi intan tanpa tekanan”. Rakan-rakan kelas Farabi MRSM PC tahun 1996 pasti mengingati pujangga tersebut.
Tersenyum saya sendirian apabila teringat pada seloroh seorang pegawai atasan di pejabat, Cik Kadariah, sebelum bertolak melanjutkan pelajaran disini 20 bulan yang lalu, katanya “Awak pergi London tahun ni, alamatnya 3 tahunlah puasa musim summer cik adik oi. Tak sempat nak habis berbuka dah nak sambung sahur!” Benar sungguh...jika di tanahair yang terletak di garisan tengah khatulistiwa, kita sudah terbiasa subuhnya pukul 6 pagi, berbuka lingkungan jam 7 malam dan menjelang 10 malam bolehlah berehat menikmati moreh setelah selesai solat tarawih. Tetapi di London pada musim panas tahun ini, subuhnya jam 3 pagi dan maghribnya 9 malam, malah tarawihnya selesai jam 12 tengah malam! Jika ingin berehat sebentar dan bangun semula untuk bertahajjud serta bersahur, besar kemungkinan tidak terjaga langsung apatah lagi jika seharian penat mengerah tenaga dan fikiran. Sebaliknya, jika ingin terus berjaga sehingga subuh, besar pula kemungkinan terlewat bangun untuk menghadiri kuliah. Bagi sebilangan pelajar pasca siswazah yang sedang giat menjalani kajian (seperti eksperimen makmal dan kutipan data yang masanya tidak menentu), terasa haru-biru juga dibuatnya. Ditambah pula tahun ini sukan olimpik berpusat di London, merata-rata poster di semua stesen bas dan tren memaparkan saranan ‘Dear Londoners, you are advised to start your journey before 0700hours to get ahead of the Olympic games”. Maka rutin di sepanjang Ramadhan perlu lebih berdisiplin; walaupun berpuasa 18 jam dan hanya sempat tidur dua atau tiga jam sahaja, perjalanan ke kuliah dan tugasan kajian perlu bermula seawal pagi untuk mengelakkan kesesakkan dan gangguan kenderaan awam. Walau penat mana sekali pun kami tidak mahu menggunakan alasan kerana berpuasa produktiviti berkurang dan tugasan tidak dapat disiapkan. Panji ‘Islam is the true way of life’ dan ‘Malaysia Boleh!’ harus sentiasa didokong supaya tidak mudah diperlekehkan. Inilah masanya mempraktikan pepatah orang tua - Alah bisa tegal biasa, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Bercerita tentang seorang sahabat saya, Azy, tentang pengalaman beliau bersahur Ramadhan pertama sambil bertugas sebagai sukarelawan pegawai keselamatan di Stadium Akuatik Olimpik, yang bertempat di Olympic Park, Stradford. Sudahlah bertugas di kawasan terbuka, unifom pula tidak cukup untuk menahan angin malam dan dingin hujan. “Bestnyer kalau dapat teh tarik panas segelas” bisik hati. Menurut beliau, dalam situasi begitu terasa sangat terharu apabila tiba waktu bersahur di mana ahli sukarelawan non-Muslim yang datang dari berbagai negara menyapa dengan senyuman dan ramah mesra “Tomorrow is Ramadhan right…Are you going to be fasting? Anyway, there is food at the canteen for you”. Tiba-tiba hati berbunga-bunga dengan layanan baik yang diberi. Walaupun juadah bersahur sangatlah berbeza dari kebiasaan juadah di Malaysia, iaitu sandwich, kentang lenyek, pasta dan buah; tetapi semangat untuk berpuasa diteruskan juga. Di saat inilah perbezaan budaya dan cara hidup di tempat orang menjadi cabaran untuk terus berdiri dan meneruskan kehidupan. Selain itu, hal ini secara tidak langsung menginsafkan diri beliau tentang keperitan hidup orang yang berkerja sebagai pegawai keselamatan, langsung bersyukur dengan kelebihan yang dimiliki dan ingin terus bekeja keras untuk terus maju.
Kemesraan dan kehormatan yang ditunjukkan oleh orang tempatan terhadap penganut Islam yang berpuasa sangat baik. Hal ini juga dirasai oleh Amirrah, yang mengambil peluang bekerja sambilan sempena cuti musim panas. Kata Amirrah, majikan dan rakan-rakan sekerja beliau amat perihatin dengan keselesaan dan hak pekerja muslim yang memerlukan waktu dan ruang untuk menunaikan solat. Pengalaman beginilah yang memberi keterbukaan minda dalam bersosial tanpa mengira batas kepercayaan agama.
Solat tarawih berjemaah di kota London tidak kurang juga meriahnya walaupun di negara orang putih. Terdapat banyak masjid yang diimami ahli tahfiz, MasyaAllah. Pengalaman menunaikan solat tarawih dengan jemaah muslim tempatan yang berbagai bangsa di masjid utama London iaitu Regents Park Mosque amatlah berharga. Lunaknya bacaan imam yang mana witirnya diiringi doa yang boleh menitiskan airmata sesiapa sahaja yang mendengar membuatkan hati ini terasa amat kerdil di bumi Allah swt. Indahnya ayatMu, besarnya rahmatMu…sesungguhnya bumi ini milikMU maka tidak terasing kalimahMu dimana jua hambaMu berada. Tiba-tiba teringat kepada arwah datuk, nenek, bapa mertua dan sahabat handai yang telah dijemput illahi (semoga roh mereka tenang dialam baqa’). Pabila terasa rindu dengan suasana tarawih di tanahair, para pelajar dan rakyat Malaysia amnya bolehlah menyertai surau ibu pejabat Education Malaysia bertempat di Bayswater atau dewan restoran milik Pak Awi di Paddington yang dikelola oleh Kelab UMNO London. Disini dapat dilihat permata-permata dikalangan pelajar Malaysia yang sedang digilap. Rupa-rupanya ramai yang menghafal Al-Quran dan berbakat ustaz bertauliah, Alhamdulillah. Bagi rakan pelajar yang berjauhan, tidak dapatlah mereka menyertai moreh sepuas hati kerana perlu mengejar bas atau tren yang kebanyakkan perkhidmatannya tamat jam 12 tengah malam. Kalau tidak, terpaksalah menginap di rumah rakan-rakan yang berdekatan.
Maka kesimpulannya, menempuh Ramadhan di peratuan ada juga indahnya. Sememangnya tidak dinafikan adanya terasa rindu, sedih, sayu dan macam-macam perasaan. Namun, perlulah ia diatasi dengan bijak supaya tidak menggangu tujuan asal berada di luar negara iaitu untuk membawa pulang ilmu dan pengalaman.
Sebagai penutup kata, kami ingin mengucapkan:
Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada suami tercinta Mohd Nasrul Mohamad Noor, ibu mertua dan kerabat Hj Yusuf serta Mama, Abah, adik-adik dan sanak-saudara yang berada di KL, Kelantan dan Kedah; warga Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan BPFK KKM, warga Jabatan Farmasi Hospital Selayang dan rakan taulan.
Norkasihan Ibrahim (Penulis), Pelajar PhD jurusan Farmasi Klinikal, University College London School of Pharmacy
Salam Aidilfitri diucapkan buat keluarga tercinta di Kedah, kaum keluarga, guru-guru dan sahabat handai yang disayangi serta tidak lupa juga kepada penaja, Telekom Malaysia dan Multimedia Universiti. Semoga Ramadhan kali ini memberi keberkatan buat kita semua. Maaf Zahir dan batin dari saya. Doakan kejayaan kami di sini.
Nur Azyyati Ahmad, Pelajar PhD jurusan Sains Komputer, King’s College London
Selamat Hari Raya kepada Mama dan Abah; Abang Tarmizi sekeluarga, Kak Inn sekeluarga, sanak-saudara di Kelantan dan Kuala Lumpur, Mama Ton sekeluarga di Selayang dan penaja, United Engineer of Malaysia (UEM).
Nor Amirrah Ibrahim, Pelajar tahun akhir jurusan Biokimia, King’s College London
Dari kanan: Norkasihan Ibrahim, Nur Azyyati Ahmad dan Nor Amirrah Ibrahim.
Lokasi foto: English Garden di Regents Park, London, UK
No comments:
Post a Comment