Tuesday, July 16, 2013

Orang Kita

Orang kita senang diperdaya 
Cakap lah, reka lah apa saja
Angguk-angguk kena ketuk
Biarpun terang lagi bersuluh
Tak logik pun tetap terpengaruh

Ubat sihat serba manika
Ubat kuat jantan berlaga
Ubat langsing sihat bidara
Ubat janda jadi dara
Ubat buat-buat pun ada
Yang belum ada..Ubat mati hidup
semula

Sistolic 190
Asid urik bengkak menyengat
Gula darah 20
Jantung kembang nak putus urat
Takpa..Takpa
Ubat serba guna kan ada
Pilih saja ikut suka rasa
Satu adunan untuk semua
Untuk saya, dia, awak,  mereka..
Sama juga Pak Mat, Ah Chong dan Siva
Import dari nun sana
Semua orang dah cuba takkan tak percaya!
Macam-macam bukti dan testimoni
Nak tunggu apa lagi
Tak percaya..pergi tengok Mak Limah
Semalam merangkak, hari ni berlari
Habis kuat sendi yang lemah
Makan 3 pinggan pun menambah lagi

Lagi 6 bulan buah pinggang nak rosak 
Eh..Itu doktor yang kata
Cuba dulu Ubat Ajaib 3 kotak
Gerenti puluh sedia kala
Tak pasal, yang 6 bulan jadi esok lusa
Doktor nak cakap apa..geleng kepala

Adik-adik, kakak dan abang
Makcik dan Pakcik semua
Nak buat ubat bukannya senang
Jangan kita mudah percaya
Sebelum apa-apa ditelan
Semak dulu dengan yang berpengetahuan
Tanya doktor, ahli farmasi dan pakar pemakanan
Atau pakar kesihatan yang berkenaan
Tubuh badan kita amanah Tuhan
Hati-hati supaya tiada sesalan














Sunday, July 14, 2013

Wahai Orang Lama

Wahai Orang Lama
Anaknda minta izin berbicara
Bukannya hendak mengadu domba
Sekadar nukilan meluah rasa 

Orang Lama sudah banyak pengalaman
Sekilas pandang sudah tepat tekaan
Belumpun akhir suatu cerita
Sudah pun tahu apa sudahnya

Anaknda pula selalu alpa
Maklumlah darah muda
Kadang-kadang ucapan tiada berbahasa
Sehingga terasa hati Orang Lama
Tingkah laku pula bersahaja
Seperti hilang budaya bangsa
Ampun...anaknda memang alpa

Tapi, Wahai Orang Lama
Janganlah mengata anaknda tiada syukur
Kerana erti syukur kita berlainan zaman
Janganlah mengata anaknda derhaka
Kerana akur kita berlainan tafsiran
Dan..
Janganlah mengata anaknda tiada hormat, mengambil mudah
Kerana yang sebenarnya...
Bila dilihat seperti tiada yang berubah
Dari dulu, kini dan mungkin selamanya
Hati anaknda mula gundah  
Kerana andai panjang nyawa
Yang derita, anaknda jualah

Dan yang sebenarnya juga..
Anaknda masih mencari-cari
Orang lama yang  punya inspirasi
Yang punya karisma dan berani berdiri
Teguh berdiri dengan yang benar walau dibenci
Yang nasihatnya ada hemat bahasa
Sehingga hati yang keras bertukar lembut mengikut kata

Wahai orang lama
Ya, anaknda tahu
Anaknda lah yang perlu punya inspirasi dan berani berdiri
Mengubah, mengolah, membuat inovasi
Meneruskan perjuangan orang lama supaya gemilang bersambung
Menjaga maruah agama, bangsa dan negara yang ulung
Mencipta kekitaan, satu masyarakat yang sepakat
Tapi...
Jika semuanya perlu mengikut cara lama...Bagaimana caranya?



Orang muda jangan angkuh

Wahai orang muda
Janganlah angkuh dengan pandai mu, azam mu yang kononnya berwawasan jauh

Apa yang kau rasa nikmatnya, tenaganya, sihatnya...semuanya telah lama kami rasa

Apa yang kau banggakan pangkatnya, mewahnya, segala nafsu dunia...semuanya lama sudah kami ada malah jemu pun iya

Jadi..bila kamu melihat yang tua
Tak perlulah engkau memandang jatuh
Bukan sahaja adabmu, malah rupa pun bertukar hodoh
Kerana bodohmu, lemahmu, kelirumu
Walaupun tidak engkau sedari
Sekali pandang sudah kami ketahui

*nasihat untuk diri sendiri dan para belia*